PART 2 : PERJALANAN

Selang beberapa hari kemudian, aku mengutarakan kembali perihal perancanganku. Pada mulanya aku agak gementar menunggu respon yang bakal diterima. Aku redha. Jika ibuku tetap tidak berganjak dengan prinsip pendiriannya. Tiada apa yang mampu aku lakukan. Aku bukan seorang yang berhati berontak, aku hidup dengan pegangan bahawa keredaan seorang ibu akan sentiasa memberkati kehidupan seorang insani.

“Pergilah, jaga diri elok-elok.” Aku seakan tidak percaya dengan jawapan yang baru kuterima keluar dari mulut ibuku. Cuba memakan hadam apa yang didengar. Memastikan yang aku tidak silap. “Ada duit pergilah,” Mendengar jawapan yang membawa arti membenarkan. Aku terus tidak mampu mengawal perasaanku kuketika itu. Aku terus memeluk erat ibuku.Betapa bersyukurnya ku disaat itu. Tuhan mendengar permintaanku


Untuk menjayakan perjalanan ini, aku memerlukan modal. Ya! Kerana kembara aku tidak ditaja oleh mana-mana pihak termasuklah ibu bapa aku. Jika kau hanya punyai impian untuk mengembara, tanpa wang kau tidak akan kemana-mana .Kau begitu bangga dengan retorik wang bukanlah segalanya. Tapi mungkin kau lupa hakikat yang segalanya kini memerlukan duit, dari mula kau di dalam kandungan sehinggalah kau selamat tiba di destinasi terakhir liang lahad, semua perkara itu bukankah memerlukan wang.

Yang ada di dalam akaun aku ketika ini, ada lebih kurang dua ribu lebih. Duit hasil titik peluh aku berkerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai borong yang begitu bangga dengan gelaran syarikat bumiputera. Di setiap sepanduk dan papan tanda kedai, kata keramat ‘syarikat bumiputera ‘ tercetak dengan penuh rasa kebanggaan.

Selepas tiga bulan, aku menghantar surat berhenti. Sebab? Aku sudah mencapai sasaran yang aku mahu. Buat apa aku perlu berlama untuk satu pekerjaan hanya untuk mengkayakan orang lain dan membunuh masa aku.Hasil menjadi Kementerian Kewangan yang tidak berbayar, aku memperkirakan rizab simpanan aku cukup untuk menampung perbelanjaan aku ke Bali dengan simpanan untuk kegunaan tatkala terdesak pada masa akan datang.


10 Oktober 2019

Mata aku melilau memerhatikan paparan digital di skrin laptop. Melayari laman web rasmi Air Asia, satu-satunya platform carian ticket murah yang aku kenali sebelum aku tahu mengenai kewujudan aplikasi Skyscanner atau Trip.com. Dua aplikasi talian yang membandingkan harga tiket yang ditawarkan daripada setiap syarikat penerbangan, kau hanya tinggal memilih mengikut kehendak kau.

Aku mencari-cari tarikh yang sesuai. Kalau boleh secepat yang mungkin.Aku mengambil keputusan untuk ke Bali pada tanggal 11 November, penerbangan QZ 557 dari KLIA 2 ke Lapangan Terbanag Ngurah Rai pada pukul 7.40 malam. Ya penerbangan malam, kerana itu yang paling murah. Pulang semula ke tanah air pada tarikh 15 November pada jam 9.55 malam.

Selesai urusan pembelian tiket dengan kos hanggus berjumlah RM502.75, satu biaya yang agak mahal untuk sekeping tiket ke Bali yang sebenarnya boleh didapati dengan harga jauh lebih murah sewaktu promosi hot seat pada setiap bulan March, Jun , September dan November. Sudah acapkali aku katakan, yang aku bukan seorang yang penyabar. Aku tidak boleh menunggu untuk suatu jeda masa. Aku terus mencatit kos penerbangan ke dalam buku nota, penting untuk aku tahu berapa jumlah sebenar yang aku habiskan.

Barulah kau tahu mengenal perit jerih mengambil masa selama berbulan-bulan untuk mengumpul untuk sebuah percutian selama lima hari. Janganlah berkira nak reward diri korang.

Pengalaman pertama mempunyai pendapatan sendiri, mengajar aku menjadi seorang yang seletif dalam setiap transaksi kewangan yang aku lakukan. Sebab itu aku perlu mencatat setiap perbelanjaan harian aku.Aku perlu tahu kemana aliran tunai aku. Kerana setiap nilai yang aku simpan adalah dari titik peluh aku. Aku sanggup mengekang keinginan yang bersifat materialitisk.

Aku tidak lagi obsess dengan jenama pakaian. Tidak lagi galak mengunjungi kafe-kafe hipster yang bagiku tidak setimpal dengan harga yang aku boleh dapat di warung biasa. Semua ini aku lakukan kerana aku perlukan modal untuk ke Bali.Urusan berkaitan tiket penerbangan selesai. Next.


Passport. Ya. Buku merah yang ibarat nyawa kedua kau jika mahu membuat perjalanan keluar negara. Tanpa dokumen ni, nasib kau tak ubah seperti rakyat Malaysia yang berkerja sebagai pemetik buah di Australia terkandas kerana visa tamat tempoh. Passport aku masih berbaki lebih kurang dua tahun sebelum menghampiri expired date. Jadi aku tak perlu bersusah payah untuk ke pejabat imigresen untuk urusan memperbaharui passport. Aku menyelak setiap helaian passport aku, selepas hampir dua tahun buku ini dikeluarkan aku hanya ada jumlah lapan cop imigresen kesemuanya. Sedih!

Visa? Untuk ke Indonesia, tidak kira kemana ceruk sehingga sekalipun. Dari titik kosong Palau Sabang ke Marauke di Papua, pemegang passport dari Malaysia tidak perlu membuat visa. Jadi kalian bebas berbertebaran di atas muka bumi Indonesia tidak kurang dari 30 hari untuk tujuan social. Jangan kau mengambil kesempatan untuk berkerja di sana.

Hal passport. Selesai!


12 Oktober 2019

Satu demi satu gambar penginapan terpapar di skrin telefon. Aku scroll ke bawah perlahan-lahan. Aku sedang mencari penginapan di Bali via Booking.com. Aku menaip perkataan ‘Kuta’ dalam kekotak carian. Mengapa memilih kawasan Kuta? Sebenarnya aku sendiri pun tiada idea untuk menetap di mana pada mulanya. Rata-rata perkongsian di laman sesawang memberikan beberapa alternatif lokasi penginapan yang menjadi pilihan pelancong di Bali.

Memandangkan aku mahu tinggal berdekatan dengan pantai, maka itu aku memilih untuk menetap di Kuta. Sebenarnya, ada beberapa pilihan lain seperti Seminyak, Legian, Sanur dan Canggu yang juga berdekatan dengan kawasan pantai. Tapi aku memilih Kuta kerana kawasan kejiranan ini terkenal di kalangan budget backpacker dengan keriuhan penghuninya di malam hari yang menjadikan kawasan ini hidup. Jika kau inginkan sebuah percutian penuh ketenangan, di sini bukan tempat sesuai untuk jiwa introvert kau.

Memandangkan area Kuta terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Ngurah Rai dan flight aku pulak sampai tengah malam, lebih baik aku cari tempat penginapan yang dekat. Tak mahu berlama-lama lagi dalam perjalanan menahan kantuk.

Area Legian yang terletak di utara Kuta dipenuhi deretan kelab malam dengan laungan bingit muzik bergegak gempita. Aku bukan datang ke sini untuk mencari hiburan malam. Aku benci berada dalam ruangan sempit dihimpit tubuh manusia lain yang tenggelam dalam hiburan duniawi. Sehingga ke hari ni aku masih tidak boleh hadam dengan retorik orang datang ke kelab malam untuk menghilangkan stress?

Area Seminyak pula adalah upscale neighbourhood dipenuhi deretan hotel bertaraf 4-5 bintang. Sesuai untuk kalian yang mengutamakan keselesaan dan ketenangan. Untuk para jomblo yang mahu mencuba nasib, bolehlah berkunjung beberapa kelab ekslusif macam Potato Head Beach Club atau OMNIA untuk ‘memancing’.

Aku scroll beberapa pilihan hostel yang berada di serata kawasan Kuta seraya memeriksa google maps untuk mengetahui lokasi. Ada satu hostel menarik perhatian aku, letaknya lebih kurang 200 meter dari pantai Kuta. Cun! Walaupun bukan terletak betul-betul di tepi pantai. Memadailah untuk aku mendapat vibe suasana di pantai.

Ada restoran makanan segera KFC dan McDonald di berada di seberang jalan. Usah khuatir! Francais makanan segera seperti KFC, McDonald atau Burger King dekat Indonesia adalah berstatus halal walaupun berada di kawasan yang majoriti bukan Muslim. Buat mereka si pencinta makanan berlidah sejati Asia yang merasa tidak kenyang dengan fast food, ada banyak rumah makan atau restoran makanan halal yang bertebaran di setiap pelusuk Kuta. Hanya tinggal cari dengan enjin carian Google. Jadi aku tak perlu risau mengenai perihal makan minum aku di sana.

Nama hostel yang aku pilih untuk menginap ialah H-ostel. Ya! Memang namanya begitu berserta tanda sempang. Ia murah, percuma sarapan pagi dan berkonsep capsule hostel. Yang tidak menariknya untuk lelaki hanya ada option mixed dormitory, jadi aku mungkin perlu berkongsi bilik dengan pnghuni perempuan. Kalau untuk perempuan ada pilihan female dormitory room. Dan Aku still tak faham kenapa ada juga perempuan nak pilih mixed dorm ni!

Mujur bilik air berada di luar dan dipisahkan mengikut kelamin. Kejutan budaya? Tidaklah sangat, iman aku tidaklah senipis kulit bawang kalau melihat perempuan. Lagipun aku bakal tinggal dekat capsule hostel, seakan tinggal di dalam keranda di mana kiri kanan bawah atas dan belakang kau tertutup. Cuma ada bahagian hadapan terbuka untuk pergerakan keluar masuk. Sekurangnya adalah penghalang fizikal yang ampuh terbina kalau rasa dinding iman tidak utuh. Ruang katil single yang dibina muatlah untuk saiz seorang manusia di dalam. Bolehlah sambil-sambil baring tu mengingat kematian.

Aku terus menekan skrin untuk membuat tempahan. Pay at the property! Jumlah yang aku bayar nanti ialah RM 142.00 untuk lima hari. Aku mengukirkan secebis senyuman. Urusan penginapan selesai

15 Oktober 2019

Untuk memastikan nama aku tak disenarai hitam oleh imigresen Malaysia, aku terus membuat semakan di laman web imigresen. Hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan, dan voila! Keputusan pun keluar. Tiada halangan untuk keluar negara. Perkara seperti ini memang agak remeh bagi sesetengah orang tapi satu kewajipan untuk dipertimbangkan sebelum membuat tempahan tiket penerbangan. Jangan bila kau dah sampai lapangan terbang, tiba-tiba dihalang imigresen daripada menaiki pesawat keluar negara baru nak menyesal. Dah terhantuk baru terngadah. Sayu hati hanya mampu melambai dari jauh melihat kawan perlahan-lahan meninggalkan kau yang terkandas.

Tapi inilah momen yang sesuai untuk kau menguji sejauh mana talian persahabatan kalian, sanggupkah kawan korang berkorban sama membatalkan percutian mereka untuk bersama-sama berkongsi duka bersama kau. Berada sama di sisi kau di saat kau memerlukan sokongan moral. Sanggup menerima bertalu-talu permohonan maaf daripadaa kau. Melenyapkan terus imaginasi indah yang sudah terlayar di minda sepanjang perjalanan kau ke lapangan terbang. Buat kerja gila tiada masalah, tapi jangan pernah buat kerja yang sia-sia.Hal senarai hitam, selesai.

Semua urusan selesai. Aku kini hanya menunggu tarikh perjalanan sebenar.

Published by osmena95

Just random dude based in Malaysia who loved to write to express his passion and thought . Writing is my freedom.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started