MEMOIR

Disclaimer: memandangkan dua bab awal cerita mengandungi bait ayat yang panjang dan rangkap yang berjela tanpa selingan gambar untuk ditatap.Luar daripada norma kebiasaan. Jika rasa emosi anda terganggu melihat font style , bolehlah sambil2 baca tu mendengar sama lagu yang aku share di atas sebagai halwa telingga. Lagu ni pertama kali aku dengar dekat hostel aku masa dekat Bali. Gigih Aku tanya receptionist tajuk lagu dia.


Ketika naratif ini mula ditaip di atas papan kekunci, usiaku sudahpun menginjak ke suku abad. Tatkala rakan seusiaku sudah pun mempunyai hala tuju kehidupan yang ingin dicapai. Aku masih lagi terumbang-ambing dibadai arus ketidapastian. Lemas dalam persoalan berkaitan masa hadapan. Hati aku berbolak-balik apa sebenarnya yang aku impikan dalam hidup ni. Dalam bahasa mudah, hidup aku terasa buntu tanpa arah.

Aku terlalu mengharap takdir yang indah sentiasa menyebelahi aku, tetapi aku silap kerana ia terlalu jarang untuk berlaku. Satu demi satu kegagalan yang dihadapai membuatkan aku menjadi seorang yang pesimis.Tapi aku punya minat? Menulis, yang membawa aku keluar seketika dari pahitnya sebuah realiti. Biarkan aku terus bermain dengan fantasi. Kerana itulah antidot yang aku perlukan ketika ini.

Lupa mahu memperkenalkan diri. Nama penaku, Osmena Bachari. Bagaimana mana terwujudnya nama itu? Aku sukakan kombo nama itu. Kedengaran begitu klasik dan unik. Gabungan nama dua penyanyi jazz dari Indonesia. Ya, aku sukankan nuansa muzik jazz. Ia bagaikan serenade untuk jiwa aku yang sunyi. Kenapa tak guna nama sendiri? Entahlah mungkin aku sengaja nak mencipta satu karakter baru.

Bagi aku genre jazz adalah irama yang sempurna. Irama jazz kedengaran enak walaupun hanya instrumental tanpa lirik ia tetap tidak kedengaran janggal. Masih lagi boleh diterima. Aku tak boleh bayangkan jika dunia tanpa kehadiran muzk jazz.

Perlu penjelasan di sini, aku bukanlah seorang yang anti pada genre lain. Soal citarasa muzik adalah persoalan subjektif. Ia bergantung pada minat si pendengar. Citarasa muzik juga tidak ada betul atau salah. Kalau kau suka muzik rap daripada Tyler The Creator, Drake atau Travis Scott itu terserah kepada kau untuk mendengarnya, itu hak kalian. Tapi tak usah memaksa untuk aku mendengar sama. Cukup aku membebel perihal selera muzik aku.

Aku bukanlah sesiapa. Bukanlah seorang instafamous yang mampu menerima ribuan likes setiap kali aku berkongsi gambar indah. Bukanlah seorang tweet famous yang pandai bermain kata-kata yang menarik minat si pembaca. Jauh sekali terlintas di fikiran untuk membuat cabaran bodoh atau tarian terencat untuk tatapan umum.Aku hanyalah aku. Susuk tubuh manusia yang sudah lama mengimpikan sebuah kehidupan digital nomad di mana dia mahu menjejak kaki ke sebanyak mungkin negara di dunia. Melihat sejauh mana kehebatan si pemegang passport merah dari sebuah negara bernama Malaysia tanah airku mampu melangkah pergi.

Aku juga bukanlah si pengembara tegar? Masih belum lagi. Jauh sekali mahu menjadi Ibnu Battuta alaf kini. Jika disoal mengenai rekod pencapaianku. Berapa banyak benua yang sudah aku jejaki? Seberapa banyak pula pemandangan matahari terbit dari ufuk timur yang sudah kau lihat ? Boleh dicongak dengan jari. Aku hanya pernah ke tiga buah negara sahaja. Ketiga-tiganya berada di rantau yang sama iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia. Baru pergi tiga negara tapi sudah riuh seakan sudah menjejakkan kaki ke bulan

Aku lahir dalam keluarga yang serba serbi sederhana. Bercuti bagi kami adalah suatu kemewahan. Mungkin bagi sesetengah keluarga, percutian tahunan adalah satu kemestian. Namun tidak buat aku, paling jauh pun kami sekeluarga pernah bercuti bersama adalah ke Bandaraya Melaka. Sedih kan!

Dari kecil lagi aku menyimpan hasrat untuk ke luar negara, sekurangnya sekali seumur hidup. Aku mahu melihat dunia dari sudut pandang berbeza. Hidup aku banyak dihabiskan di bumi Malaysia, ruang lingkup padangan aku banyak tertumpu di sini sehingga aku lupa dunia ini terlalu luas untuk diterokai. Selagi ada ruang dan peluang aku akan cuba merealisasikan impian itu selagi nyawa, masih di kandung badan dan bila aku diberikan rezeki yg lebih.

Ini adalah memoir aku. Sebuah cerita yang diplagiat daripada pengalaman aku sendiri. Ya! Aku sedang mencuri pengalaman hidup aku sendiri.Dalam menulis travelog ini aku hanya merujuk kepada catitan yang aku tulis dalam sebuah buku, resit-resit yang aku masih simpan, foto-foto dalam iPhone mengikut tarikh dan lokasi serta Instagram. Olahan penulisan yang bersifat peribadi dan ditulis dengan gaya santai

Pada penghujung tahun 2019, akhirnya aku nekad untuk memberanikan diri.Mendengar suara gelora hati. Mengambil langkah berani mati untuk keluar dari kepompong keselesaan aku. Aku akan ke Bali secara solo. Ya. Keputusan aku muktamad. Setelah sekian lama memikirkan, kali ini aku telah membulatkan tekad untuk mengambil jua risiko yang mendatang. Jika aku tidak memulakan sekarang, bila lagi? Aku percaya pada filisofi.

“Satu langkah kecil dari sebuah niat yang baik mampu membawa kita menuju sesuatu yang di luar imaginasi kita”

Secara rasminya ini ialah kembara pertama aku ke luar negara secara solo. Sebelum ini aku pernah ke Singapura dan Thailand tetapi ditemani oleh kawan-kawan lain.

Kenapa aku memilih Bali sebagai titik permulaan untuk mengembara seorang diri? Kerana aku sudah jatuh cinta dengan keindahan alamnya dan budaya. Aku mengaku melihat perkongsian gambar dari mereka yang pernah ke sana mempengaruhi keputusanku. Ada menyatakan jangan membuat keputusan atau ketepatan untuk pergi ke sesebuah tempat baru dengan hanya berpandukan gambar yang dikongsi. Kelak indah khabar dari rupa.

Bagiku, jika kau berniat untuk ke tempat itu hanya itu sekeping gambar untuk dimegah-megahkan di media sosial, tentu kau akan sekufu dengan pendapat ini. Jika niat kau untuk menghargai dan mempelajari perkaru nescaya kau tidak akan kecewa. Jika betul niat kita, insyallah kau akan nikmati sendiri keindahan yang kau impikan.

Aku ada juga membuat rujukan alam maya dengan membaca beberapa laman blog perkongsian traveller lain yang pernah menggembara ke Bali bersendirian. Rata-rata memberikan jaminan bahawa pulau Bali adalah selamat untuk pengembara solo. 100% jaminan selamat? Aku tidak berani memberi jaminan sesuatu perkara yang bukan bidang kuasa aku.Aku tidak punya indera keenam untuk meramal apa yang bakal berlaku kelak.Itu kuasa Yang Maha Esa. Sebagai hamba-Nya yang kerdil, aku hanya titipkan doa agar sentiasa dilindungi-Nya.

Bagiku dimana juga kau bertebaran di atas muka bumi ini. Engkau perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak musibah. Hidup di negara kapitalis yang mencipta jurang di antara si kaya penindas dan si miskin yang ditindas. Apabila berlakunya ketidak adilan sosial, maka wujudnya kelompok yang memberontak menuntut hak mereka. Kita ada undang-undang menghukum seorang pencuri.

Pernahkah kita berfikir sejenak, mengapa ada yang sanggup mencuri, sedangkan mereka tahu benda itu salah? Ya. Kemiskinan! Menunjukkan kegagalan sebuah sistem dalam mengangkat kesamarataan dalam masyarakat. Konklusinya, jenayah seperti kecurian, penyeluk saku atau ragut boleh berlaku dimana-mana sahaja. Mungkin juga boleh terjadi disaat kau baru melangkah keluar dari rumah. Sentiasalah mengambil langkah berwaspada

Diaclaimer: perenggan di atas aku taip selepas menonton dokumentari mengenai Imelda Marcos. Lady of Versailles. berminat ingin tahu siapa beliau, buatlah carian Google. Bukan mahu menyemai kebencian terhadap golongan feudalis.


Tanpa membuang masa, aku terus menyatakan hasratku kepada ibuku. Jawapannya seakan sudah dapat aku baca melalui riak wajahnya. Ibuku agak skeptikal dengan niatku, baginya mungkin aku hanya bercanda dan rencanaku tidak serius. Aku tahu ibuku keberatan untuk melepaskan aku pergi jauh. Walaupun hanya untuk beberapa hari. Aku menyakinkan ibuku yang betul-betul tekad dengan keputusanku. Walaupun aku pergi seorang, tetapi disana nanti aku akan ditemani oleh supir. Terlalu banyak perkara negatif yang mengusarkan naluri seorang ibu. Aku faham, ibu mana yang tidak risaukan keselamatan anaknya walaupun sudah menginjak dewasa. Aku tidak sampai hati untuk terus mengikut emosi mendesak ibuku merubah keputusan. Biarlah ibuku diberi ruang untuk bertenang dulu. Aku kini bersandar di balik dinding, memajam erat dengan penuh pengharapan semoga Tuhan akan melembutkan hati ibuku. Aku perlahan-lahan membuka kelopak mataku.

Sunyi.

Tanpa jawapan daripada Tuhan.

Published by osmena95

Just random dude based in Malaysia who loved to write to express his passion and thought . Writing is my freedom.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started